Click Here...

Sunday, 8 January 2012

Gandingan Azrai, Effa Owona Buat The Red Worriors Kempunan..


Negeri Sembilan menjulang Piala Sultan Ahmad Shah selepas menewaskan Kelantan 2-1 dalam Perlawanan Sumbangsih - pembuka tirai Liga Malaysia 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Penyerang import dari Cameroon, Jean Emmanuel Effa Owona yang menjadi pemusnah Kelantan dengan dua jaringan pada minit ke-31 dan 63 walaupun Red Warriors memimpin perlawanan terlebih dahulu melalui pemain paling bernilai tahun lalu, Norshahrul Idlan Talaha seawal minit ke-22.

Kelantan yang menguasai sebahagian besar perlawanan pada permulaan separuh pertama seolah-olah memberikan petanda bahawa akan bergelar pemenang malam semalam apabila menggegar pintu gol Negeri Sembilan menerusi gerakan cantik Norshahrul.

Norshahrul memperdayakan dua pertahanan Kelantan dalam kotak penalti sebelum menewaskan Farizal Marlias bagi menggembirakan kira-kira 15,000 penyokong setia The Red Warriors yang hadir memberi sokongan di Stadium Bukit Jalil.

Kelibat Effa Owona pasti akan digeruni pasukan lawan selepas ini

Kegembiraan penyokong The Red Warriors hanya bertahan sembilan minit apabila tonggak import Negeri Sembilan, Effa Owona melakukan gerakan secara solo ke dalam kotak penalti dan melepaskan rembatan padu yang mengelirukan Khairul Fahmi Che Mat kerana bola sebelum itu mengenai pemain pertahanan Kelantan.

Red Warriors semakin hilang rentak pada separuh masa kedua ketika Negeri Sembilan semakin rancak menguasai perlawanan dan akhirnya Effa Owona memastikan kehadirannya dalam saingan liga musim ini perlu diberikan perhatian oleh pasukan lain apabila menjaringkan gol kemenangan 18 minit selepas separuh masa kedua bermula.

Berpunca daripada hantaran silang Tengku Qayyum Ubaidillah berhampiran pintu gol Kelantan, Effa Owona yang gagal dikawal oleh pertahanan Kelantan mudah menanduk masuk bagi memastikan Piala Sultan Ahmad Shah hadir ke Seremban buat pertama kali sejarah penganjuran piala itu semenjak tahun 1985.

Kemenangan Piala Sumbangsih telah melengkapkan koleksi piala Azrai Khor Abdullah 

Sementara itu, kemenangan di hadapan 25,000 penonton itu membuktikan pasukan bimbingan Azraai Khor Abdullah masih berbisa bagi menghadapi musim baru walaupun kehilangan ramai pemain bintang yang berhijrah ke pasukan lain.

Azraai yang membantu Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia buat kali ketiga tahun lalu mengakui faktor utama di sebalik kemenangan itu adalah strategi tepat dan komitmen tinggi dariapada semua pemain.

Saturday, 7 January 2012

Piala Sumbangsih : Siapa Lebih Hebat???


Kelantan memiliki barisan pemain lengkap untuk menjulang Piala Sumbangsih musim ini. Kelantan boleh dianggap pasukan pilihan dalam pertemuan malam ini dengan Negeri Sembilan kerana mereka memiliki barisan pemain yang seimbang di semua posisi.

Daripada posisi pertahanan hingga ke jentera serangan, watak-watak dalam skuad Kelantan boleh dianggap yang terbaik di negara ini ketika ini.


Penjaga gol Kelantan, Kairul Fahmi boleh menjadi watak utama dalam menghalang impian skuan Negeri Sembilan dan untuk menjulang Piala Sumbangsih pada kali ini. Kemahiran dan pengalaman penjaga gol kebangsaan ini pastinya ditagih oleh skuad Kelantan bagi memastikan benteng mereka kebal dalam menyerap asakan menggila daripada skuad Negeri Sembilan.


Di benteng pertahan, kepulangan semula Azizi Mat Rose daripada pasukan T-Team pastinya menjadi tonik terbaik dalam memantapkan benteng pertahanan pasukan Kelantan. Azizi yang sememangnya cekap membaca pergerakan lawan pastinya akan mendatangkan kesukaran kepada penyerang pasukan Negeri Sembilan untuk menembusi benteng pertahanan Kelantan.


Bahagian tengah pula bakal dikemudi oleh kapten Kelantan, Mohd. Badri Radzi. Badri mempunyai kebijaksanaan dalam merencanakan gerakan serta membantu bahagian depan untuk melancarkan serangan. Kreativiti yang dimiliki pemain ini pastinya akan membuatkan bahagian tengah Negeri Sembilan perlu bekerja keras.


Jentera serangan pula diterajui Norshahrul Idlan Talaha dengan dibantu Indra Putra Mahyuddin, Nor Farhan Mohammad yang kembali ke pangkuan The Red Warriors musim ini.


Kehadiran pemain import, Mohammad Ghaddar dan Danny Antwi, Kelantan memang dilihat skuad yang serba lengkap musim ini.

Namun persoalannya, mampukah bintang-bintang Kelantan ini menterjemahkan kelebihan yang ada pada mereka itu untuk menghadiahkan kemenangan kepada The Red Warriors.

Negeri Sembilan pula memiliki jurulatih terhebat untuk melunturkan hajat Kelantan bergelar juara buat kali kedua berturut-turut.


Mohd. Azraai Khor Abdullah dianggap antara jurulatih tempatan terbaik kerana memiliki sentuhan luar biasa untuk membawa Negeri Sembilan ke puncak kegemilangan.

Tidak perlu dipersoalkan lagi kredibiliti Azraai kerana banyak yang telah dibuktikannya sebelum ini.

Selain membawa Negeri Sembilan muncul juara Piala Malaysia 2011, Azraai juga pernah membawa Kedah meraih gelaran treble sebelum ini.


Atas faktor tersebut, maka tidak hairan jika Negeri Sembilan mampu memusnahkan Kelantan pada aksi pembuka tirai Liga Bola Sepak Malaysia (Liga-M) bagi musim 2012 menerusi perlawanan bagi merebut Piala Sumbangsih.


Kelibat pemain import, Effa ini amat dinanti-nantikan penyokong Hoben Jang Hoben selepas kali terakhir mereka memiliki awang import berbisa, Christian Bekamenga Bekamengo, juga dari Cameroon yang membantu Negeri Sembilan menjuarai Liga Super pada musim 2005/06.

Effa yang pernah beraksi secara pinjaman bersama kelab Liga Dua Perancis, FC Metz mula menunjukkan taringnya dengan meledak hatrik ketika membantu Negeri Sembilan menang 3-0 pada aksi persahabatan menentang pasukan Liga Perdana, Harimau Muda B, baru-baru ini. 






Friday, 6 January 2012

Jangan Pandang Mudah Pasukan Yob!!!

Kehadiran pemain import diharapkan dapat memantapkan pasukan Yob untuk musim 2012

Pasukan Perak adalah antara pasukan yang perlu diberi perhatian bagi saingan Liga M 2012. Adunan pemain muda serta tonggak berpengalaman seperti K. Nanthakumar, Chan Wing Hoong, Shahrul Nizam Mustafa, Akmal Rizal Ahmad Rakhli serta penjaga gawangnya, Mohd Nasril Mat Nourdin menjadi nadi kepada kebangkitan Seladang yang sekian lama dahagakan gelaran. 

Perak mencatat sejarah antara tiga pasukan yang berjaya dalam kancah bola sepak tempatan selepas mengungguli tujuh gelaran Piala Liga dan menduduki tempat kedua sebanyak 11 kali.

Selain mencatat beberapa kejayaan seperti juara Piala Malaysia 1967, juara Piala FA yang pertama (1990), juara sulung ketika kejohanan Piala Malaysia yang pertama kali dipertandingkan di Stadium Bukit Jalil pada 1998 serta juara Piala Malaysia pada alaf baru tahun 2000. 

Peminat pasukan Perak menaruh harapan yang tinggi kepada kedua-dua pemain ini untuk membantu menjuarai Piala untuk musim 2012

Kehadiran pemain tengah import dari Slovakia, Michal Kubala dan penyerang, Lazar Popovic (Serbia) memperkuatkan lagi jentera pasukan. 

Gandingan Kubala yang juga pemain kebangsaan Slovakia bawah 18 dan 21 tahun serta pemain yang mempunyai skil tinggi, Popovic menjadi sandaran pasukan yang cukup popular dengan tagline Kejor Yeob Kejor itu. 

Perak turut mendapat khidmat tiga muka baru iaitu dua pemain Kuala Lumpur dan seorang pemain Felda United kelahiran Perak selain berjaya mendapatkan khidmat dua pemain dipinjam semasa Piala Malaysia iaitu Mohd Failee Ghazali dan Mohd Rafiuddin Roddin dari USM FC dan Harimau Muda. 

Persediaan skuad Seladang bermula dengan beberapa perlawanan ujian bersama kelab dan pasukan Liga M selain tiga perlawanan di Medan bersama Pasukan Sepak Bola Medan Sekitarnya (PSMS). 

Perak seri tanpa jaringan menentang Posumut dan PSMS tetapi menang 1-0 pada perlawanan kedua ke atas PSMS. 

Perak memulakan kempen Liga M bertemu juara Piala FA, Terengganu di Ipoh pada Selasa (10 Januari) ini diikuti pertemuan dengan musuh tradisi, Selangor di tempat lawan selepas itu.