Kelantan memiliki barisan pemain lengkap untuk menjulang Piala Sumbangsih musim ini. Kelantan boleh dianggap pasukan pilihan dalam pertemuan malam ini dengan Negeri Sembilan kerana mereka memiliki barisan pemain yang seimbang di semua posisi.
Daripada posisi pertahanan hingga ke jentera serangan, watak-watak dalam skuad Kelantan boleh dianggap yang terbaik di negara ini ketika ini.
Penjaga gol Kelantan, Kairul Fahmi boleh menjadi watak utama dalam menghalang impian skuan Negeri Sembilan dan untuk menjulang Piala Sumbangsih pada kali ini. Kemahiran dan pengalaman penjaga gol kebangsaan ini pastinya ditagih oleh skuad Kelantan bagi memastikan benteng mereka kebal dalam menyerap asakan menggila daripada skuad Negeri Sembilan.
Di benteng pertahan, kepulangan semula Azizi Mat Rose daripada pasukan T-Team pastinya menjadi tonik terbaik dalam memantapkan benteng pertahanan pasukan Kelantan. Azizi yang sememangnya cekap membaca pergerakan lawan pastinya akan mendatangkan kesukaran kepada penyerang pasukan Negeri Sembilan untuk menembusi benteng pertahanan Kelantan.
Bahagian tengah pula bakal dikemudi oleh kapten Kelantan, Mohd. Badri Radzi. Badri mempunyai kebijaksanaan dalam merencanakan gerakan serta membantu bahagian depan untuk melancarkan serangan. Kreativiti yang dimiliki pemain ini pastinya akan membuatkan bahagian tengah Negeri Sembilan perlu bekerja keras.
Jentera serangan pula diterajui Norshahrul Idlan Talaha dengan dibantu Indra Putra Mahyuddin, Nor Farhan Mohammad yang kembali ke pangkuan The Red Warriors musim ini.
Kehadiran pemain import, Mohammad Ghaddar dan Danny Antwi, Kelantan memang dilihat skuad yang serba lengkap musim ini.
Namun persoalannya, mampukah bintang-bintang Kelantan ini menterjemahkan kelebihan yang ada pada mereka itu untuk menghadiahkan kemenangan kepada The Red Warriors.
Negeri Sembilan pula memiliki jurulatih terhebat untuk melunturkan hajat Kelantan bergelar juara buat kali kedua berturut-turut.
Mohd. Azraai Khor Abdullah dianggap antara jurulatih tempatan terbaik kerana memiliki sentuhan luar biasa untuk membawa Negeri Sembilan ke puncak kegemilangan.
Tidak perlu dipersoalkan lagi kredibiliti Azraai kerana banyak yang telah dibuktikannya sebelum ini.
Selain membawa Negeri Sembilan muncul juara Piala Malaysia 2011, Azraai juga pernah membawa Kedah meraih gelaran treble sebelum ini.
Atas faktor tersebut, maka tidak hairan jika Negeri Sembilan mampu memusnahkan Kelantan pada aksi pembuka tirai Liga Bola Sepak Malaysia (Liga-M) bagi musim 2012 menerusi perlawanan bagi merebut Piala Sumbangsih.
Kelibat pemain import, Effa ini amat dinanti-nantikan penyokong Hoben Jang Hoben selepas kali terakhir mereka memiliki awang import berbisa, Christian Bekamenga Bekamengo, juga dari Cameroon yang membantu Negeri Sembilan menjuarai Liga Super pada musim 2005/06.
Effa yang pernah beraksi secara pinjaman bersama kelab Liga Dua Perancis, FC Metz mula menunjukkan taringnya dengan meledak hatrik ketika membantu Negeri Sembilan menang 3-0 pada aksi persahabatan menentang pasukan Liga Perdana, Harimau Muda B, baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment